Bersaing dalam kelas Supersport, pelumba kelahiran Banting itu menempah tempat di barisan ketiga selepas mencatat masa satu minit, 38.205 saat (s), 0.522s di belakang pemenang petak pertama Jules Cluzel dari Perancis.

“Alhamdulillah hari ini saya begitu gembira dengan keputusan superpole. Masalah ber­kaitan enjin semalam dapat diselesaikan hari ini. Saya sangat gembira dengan persembahan pasukan saya.

“Semuanya berjalan lancar dan mengikut rancangan, malah pemilihan tayar juga bagus sehingga saya dapat berlumba pada tahap maksimum. Bagi saya kedudukan kelima ini dapat membantu saya berlumba dengan lebih baik esok.

“Ini kerana saya boleh fokus untuk bersaing dengan pelumba di depan. Harap keputusan baik memihak kepada saya nanti dan membolehkan saya membawa pulang mata besar,” ujar pelumba berusia 26 tahun itu.

Dalam perlumbaan pembukaan di Phillip Island, Australia dua minggu lalu, Zulfahmi menamatkan perlumbaan di tempat ke-12 dan mengakui keputusan tersebut agak mengecewakan.

Jelasnya, dia ke Australia de­ngan sasaran menamatkan persaingan dalam kelompok lima terbaik, tetapi menamatkan perlumbaan dengan sekadar mengutip empat mata selepas terganggu dengan beberapa insiden termasuk dilanggar dari belakang pada perlumbaan yang terpaksa dimulakan semula kerana kemalangan di awal perlumbaan.