Juara dunia empat kali itu yang memandu jentera Ferrari dengan penuh keyakinan memastikan kedudukan petak utama yang dicatatnya buat kali ke-54 berjaya diterjemahkan kepada kemenangan, sementara pelumba Finland, Valtteri Bottas dari Mercedes dan pemandu Red Bull, Max Verstappen masing-masing melengkapkan saingan di tempat kedua serta ketiga.

Vettel yang melakar kemenangan ketiganya musim ini turut mengangkat pemandu tersebut di kedudukan teratas setelah mengumpul 121 mata memintas Hamilton yang meraih 120 mata selepas tujuh perlumbaan.

Kejayaan tersebut juga telah menyekat impian juara dunia empat kali, Hamilton menyamai rekod tujuh kemenangan di Litar Gilles Villeneuve di mana dia berjaya memenangi perlumbaan itu dari petak utama sejak tiga tahun lalu.

Kemenangan tersebut juga merupakan yang pertama buat Ferrari di Kanada sejak 2004 dan kali pertama menempah petak hadapan dalam tempoh 17 tahun. Vettel pula meraih kemenangan kali kedua di Kanada di mana dia pernah berbuat demikian pada 2013 ketika bersama Red Bull.

Pelumba Australia, Daniel Ricciardo, yang mencatat masa sepusingan terpantas pada penghujung saingan, berjaya mengekang kemaraan Hamilton yang berusaha meningkatkan kelajuan jenteranya di pusingan terakhir, apabila mengekalkan kedudukannya di tempat keempat manakala pemandu Britain itu di tangga kelima.

Seorang lagi pemandu Ferrari, Kimi Raikkonen dari Finland melengkapkan perlumbaan di kedudukan keenam. Pelumba Jerman, Nico Hulkenberg pula berjaya menamatkan aksinya di tangga ketujuh mengatasi rakan sepasukan dari Renault, Carlos Sainz dan pelumba Force India, Esteban Ocon serta Monegasque Charles Leclerc dari Sauber.

“Kejayaan ini merupakan satu kemenangan sempurna. Saya ada berkata semalam bahawa tempat ini amat bermakna buat Ferrari dan memang sukar untuk dipercayai.

“Selepas sekian lama Ferrari gagal melakar kemenangan di sini, saya melihat ramai yang berkongsi kegembiraan ini. Ia memberi makna yang cukup besar. Memandangkan perjalanan musim ini masih panjang, jadi saya tidak bimbang tentang gelaran buat masa sekarang, tetapi ia memberi impak positif kepada saya,” kata Vettel. - AFP