Keputusan mengenai peletakan jawatan Todt itu disahkan Presiden Ferrari, Luca di Montezemolo selepas mesyuarat lembaga, kelmarin.

"Jean (Todt) telah menjadi watak penting dalam sejarah Ferrari dalam tempoh 15 tahun lalu.

"Jadi saya ucapkan selamat maju jaya kepada beliau dan berharap dapat menjalani kehidupan dengan lebih puas baik secara peribadi mahu pun profesional," kata di Montezemolo.

Perkembangan terbaru itu bermakna Todt tidak lagi mempunyai sebarang pengaruh dalam persiapan Ferrari dalam menghadapi musim 2009 nanti.

Sepanjang bersama Ferrari, tokoh sukan berbangsa Perancis itu telah meletakkan pasukannya berada dalam pencapaian terbaik dengan meraih enam kejuaraan pengeluar dunia dari 1999 hingga 2004.

Bagaimanapun pada 2007, Todt menyerahkan jawatan ketua pasukan Ferrari kepada rakannya dari Itali, Stefano Domenicali.

Kemudian pada Mac tahun lalu, Todt meletakkan jawatan sebagai Ketua Eksekutif Ferrari tetapi kekal sebagai ahli lembaga pengarah yang masih terbabit dalam membuat keputusan-keputusan penting dalam pasukan F1. - REUTERS