Menurut kenyata­an akhbar yang dikeluarkan SIC, tawaran tersebut bermula hari ini dan dibuka hingga tarikh perlumbaan ia­itu dari 29 September hingga 1 Oktober.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata, sejak beberapa tahun ke­belakangan, peminat tempatan lebih cen­derung untuk tidak menyaksikan perlumbaan F1 secara langsung di Sepang dengan harga tiket yang mahal antara alasan mengapa mereka berbuat demikian.

“Tahun ini, kami telah menyu­sun strategi yang belum pernah dibuat sebelum ini. SIC sanggup melakukan apa sahaja untuk menarik pengunjung menyaksikan perlumbaan secara langsung. Justeru, kami telah menawarkan harga tiket pa­ling rendah, berserta diskaun buat rakyat Malaysia sebagai tanda terima kasih atas sokongan mereka selama ini.

“SIC menawarkan kadar harga purata untuk Main Grandstand serta diskaun bagi pemegang MyKad dan harga tiket yang jauh lebih murah di kawasan tempat duduk lain.

“Untuk mengekalkan keha­diran pengunjung yang ramai bukan satu tugas mudah, jadi kami berharap dengan struktur harga yang baharu ini membolehkan para peminat menyaksikan perlumbaan secara langsung di litar,” kata Razlan menerusi kenyataan tersebut di sini, hari ini.

Paras harga standard tiket bagi GP Malaysia 2017 ialah bermula daripada RM58.68 bagi tempat duduk Hillstand K2 hingga RM613.68 untuk Main Grandstand. Harga tiket tersebut merupakan yang paling berpatutan berbanding perlumbaan F1 di negara-negara lain.

Tahun ini, bagi pembeli tiket di Main Grandstand, F Grandstand dan K1 Grandstand, mereka bebas untuk duduk di mana-mana kerana tiada tempat duduk bernombor disediakan.

Buat kali pertama, rakyat Malaysia bakal menikmati kadar harga purata untuk Main Grandstand dengan harga hanya RM336.18, sementara tiket F Grandstand dan K1 Grandstand masing-masing dijual pada harga RM169.68 serta RM225.18.

SIC juga menawarkan diskaun 50 peratus bagi tiket kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke bawah, manakala untuk golongan kurang upaya (OKU) mereka boleh membeli tiket Main Grandstand pada harga RM308.43.