Selain Nabil, dua rakan seperjuangannya iaitu Jazeman Jaafar dan Weiron Tan yang pernah bergandingan dalam Perlumbaan Enam Jam Fuji di Jepun pada tahun lepas turut dicalonkan bagi merebut anugerah yang sama.

Bagaimanapun, atas semangat berpasukan, Nabil ketika ditemui pemberita berkata, dia tidak kisah siapa yang akan memenangi anugerah tersebut dan jika salah salah seorang daripada mereka berjaya berbuat demikian, ia dianggap sebagai satu kemenangan bersama.

Nabil, yang pernah meraih Anugerah Pembangunan Permotoran Kementerian Belia dan Sukan pada edisi lepas berkata, ketiga-tiga mereka layak dinobatkan untuk menerima anugerah itu selepas pencapaian cemerlang, musim lalu.

“Ini kali pertama saya dicalonkan dalam kategori ini, dan jika menang, saya berasakan kami sememangnya layak menerima anugerah itu. Tidak pernah lagi pasukan yang terdiri daripada semua pemandu Malaysia bertanding di peringkat dunia dan menang.

“Jadi saya rasa kita patut menang anugerah ini sebagai satu pasukan bukan secara individu kerana kami menang WEC menerusi kerjasama trio,” kata Nabil di sini, hari ini.

Selain tercalon dalam kategori tersebut, Nabil dan Jazeman turut dicalonkan bagi anugerah Sukan Pemotoran Malaysia Pilihan Peminat.

Ketiga-tiga pemandu itu diberikan ruang menyertai WEC oleh Litar Antarabangsa Sepang (SIC), April tahun lalu dan mereka pernah memenangi Perlumbaan Enam Jam Fuji, Oktober lepas.

Selain itu, Nabil, Jazeman dan Weiron turut menamatkan aksi di kedudukan kedua dalam perlumbaan di Litar Silverstone pada Ogos serta tempat keempat di Le Mans, Shanghai dan Spa-Francorchamps.