MONZA, Itali 1 Sept. - Kimi Raikkonen meletakkan Ferrari pada kedudukan baik untuk memenangi perlumbaan di litar sendiri, Grand Prix Formula Satu Itali apabila menyambar petak pertama dalam sesi kelayakan hari ini.
Pemandu Finland yang juga juara dunia 2007 itu melengkapkan saingan di Litar Autodromo Nazionale, Monza dengan masa terpantas satu minit, 19.119 saat, mengatasi rakan sepasukan, Sebastian Vettel dari Jerman yang ketinggalan dengan 0.161s.
Juara dunia, Lewis Hamilton dari pasukan Mercedes terus memberi tekanan apabila menamatkan sesi kelayakan di tempat ketiga menerusi catatan masa 1:19.294s, manakala rakan sepasukannya, Valtteri Bottas di tempat keempat (1:19.656s). - AGENSI