Acara tahunan terbesar yang berlangsung dari 16 hingga 17 Jun itu mendapat sambutan yang cukup mengagumkan daripada penduduk di negara tersebut, dan kebanyakan mereka berkhemah di sekitar Litar de la Sarthe, di kawasan disediakan oleh pihak penganjur.

Seorang penduduk dan juga peminat sukan permotoran itu, Joshceb berkata dia telah mengikuti perlumbaan ini sejak berusia lima tahun dan acara ini adalah yang terbesar di dunia.

“Semua orang akan berhimpun di litar dan menyaksikan perlumbaan terbesar di dunia. Anda akan menyaksikan bandar menjadi lengang kerana semua penduduk menghadiri perlumbaan itu dan lebuh raya akan sesak menuju ke Paris apabila perlumbaan tamat.

Hampir satu juta penonton memeriahkan acara tahunan ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Perlumbaan yang dianjurkan sejak 1923 yang memasuki edisi ke-86 itu dimenangi pasukan Toyota Gazoo Racing TS050 #8 yang membariskan pelumba Formula Satu (F1) Fernando Alonso dan dua bekas pemandu F1 iaitu Sebastien Buemi serta Kazuki Nakajima.

Turut mencuri tumpuan sudah pasti trio negara yang diketuai Jazeman Jaafar, Nabil Jefri dan Weiron Tan yang mencipta sejarah baharu buat Malaysia dalam sukan permotoran itu setelah mereka berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan keenam dalam kelas LMP2 dan ke-10 ke­seluruhan daripada 60 kereta yang menyertai perlumbaan.

Pengalaman yang diperoleh pada penampilan pertama mereka dalam perlumbaan tahan lasak paling kompetitif itu adalah cukup berharga, malah tidak menghampakan apabila ketiga-tiga pelumba negara itu melakukannya dengan cukup cemerlang dan sudah pasti pada perlumbaan akan datang peluang untuk me­nyaksikan pelumba Malaysia berada di podium lebih cerah.

Jazeman mengakui pengalaman yang diraih di Le Mans cukup berharga dan pasti amat berguna untuk menjadi bekalan mereka dalam perlumbaan akan datang.

“Walaupun kali pertama berlumba di litar ini, tapi kami berjaya melakukannya dengan cemerlang. Menamatkan perlumbaan sebagai satu pasukan yang dibarisi pelumba negara adalah satu sejarah baharu buat negara.

“Pasukan kini berada di tempat kedua terbaik dunia keseluruhan yang merupakan satu pencapaian mengagumkan. Perjalanan masih panjang buat kami untuk terus belajar.

“Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang memberi sokongan dan berdoa untuk kejayaan kami,” kata pelumba pasukan Jackie Chan DC Racing X Jota itu.

Trio di bawah Program Pembangunan Pelumba Litar Antarabangsa Sepang (SIC) itu membuat penampilan pada musim pertama di WEC dengan perlumbaan di Le Mans adalah sebahagian daripadanya. – UTUSAN