Akibat daripada kemalangan dan hentakan kuat itu, bahagian depan kereta Ericsson remuk dan rosak teruk. Bagaimanapun pelumba berasal dari Sweden itu keluar dengan tenang daripada keretanya tanpa bantuan sesiapa dan berjalan ke laluan pit sambil tersenyum dan melambaikan tangan kepada penonton.

Ketika insiden itu berlaku, Ericsson didakwa sedang memandu pada kelajuan 350 kilometer/sejam sebelum dia membrek secara mengejut dan hilang kawalan terhadap jenteranya. Dia kini hanya mempunyai masa 24 jam untuk mempersiapkan jentera baharu bagi menghadapi sesi kelayakan dan seterusnya perlumbaan sebenar esok.

“Keadaan saya semuanya baik sahaja. Memang ia kemalangan besar. Mujur ciri-ciri keselamatan kereta ini hebat sekali. Harap esok saya boleh berlumba semula dan tidak sabar menantinya,” kata Ericsson yang telah pun mendapat kebenaran doktor.

Turut mengesahkan Ericsson boleh kembali berlumba adalah ketua pasukan Sauber, Frederic Vasseur yang bagaimanapun mengakui tetap cemas ketika menyaksikan kemalangan itu. - AGENSI