Sejak berpindah ke Mercedes pada 2013, Hamilton mengharu­ngi musim cemerlang, termasuk memenangi 32 perlumbaan dan dua kejua­raan dunia.

Bagaimanapun pemandu berusia 32 tahun itu tidak sunyi daripada kontroversi, terutama ketika bersaing sengit dengan rakan sepasukannya, Nico Rosberg dalam perebutan tiga gelaran dunia antara 2014 dan 2016.

Hubungan tegang antara dua pelumba itu tiba di kemuncak pada Grand Prix Abu Dhabi tahun lalu apabila Hamilton mengabaikan arahan pasukan untuk memberi laluan kepada Rosberg dalam perlumbaan terakhir yang me­nyaksikan dia gagal mempertahankan gelaran dunia.

Bercakap kepada akhbar Bri­tain, Guardian, Hill memberi a­maran kepada Mercedes agar tidak terlalu mengawal Hamilton atau bakal kehilangannya.

“Lewis seorang pemandu yang sangat emosional dan tidak mustahil boleh berlaku situasi yang mana dia akan berkata: ‘Saya sudah cukup dan tidak mahu meneruskannya lagi’.

“Memang benar, kebanyakan pemandu memiliki emosi se­pertinya, namun tidak semua pemandu memiliki reputasi hebat dan dia adalah pelumba yang mendapat permintaan tinggi.

“Jadi, Mercedes perlu jelas sama ada mereka mahu Lewis sebagai aset dan memberi lebih banyak ruang kepada­nya atau mereka tahu apa yang boleh berlaku,” kata Hill.

Bekas pemandu Britain berusia 56 tahun itu juga mempertahankan gaya hidup selebriti Ha­milton yang sering menimbulkan kontroversi dengan menegaskan, juara dunia tiga kali tersebut berjaya mengimbangi kehidupan peribadi dan kariernya. – AGENSI