Alonso, 37, menamatkan kariernya dalam kancah F1 pada perlumbaan terakhir musim di Grand Prix Abu Dhabi, bulan lalu.

Dia akan menyertai perlumbaan Indianapolis 500 pada Mei tahun depan bersama McLaren, tetapi pasukan yang sedang bergelut dengan prestasi itu bertekad untuk membawa pemandu Sepanyol tersebut terbabit dalam operasi F1, dan mahu Alonso menguji jentera pasukan bagi musim depan.

Norris, adalah pelumba muda Britain berusia 19 tahun yang akan mengisi kekosongan tempat ditinggalkan Alonso. Dia akan bergandingan dengan Carlos Sainz pada 2019.

“Saya akan terkejut jika musim depan anda tidak melihat kelibat Fernando dalam beberapa perlumbaan F1 dan McLaren mahukan kepakarannya termasuk dia menguji jentera pasukan.

“Saya ada bercakap dengan Fernando mengenai perkara ini, dan dia begitu terbuka untuk di bawa berunding. Bagi juara dunia F1, sama ada Michael Schuma­cher, Alain Prost ataupun Mika Hakkinen, tidak pernah mahu berada terlalu jauh dengan pit lane F1.

“Banyak yang Fernando boleh sumbang dari segi pengalaman yang dimilikinya, dan Carlos serta Lando begitu terbuka dengan sebarang idea. Fernando amat me­ngenali pasukan, manakala Lando pula masih cetek pengalaman.

“Fernando sendiri yang akan putuskan apa yang dia mahu, dan keputusan itu akan dibuat dalam tempoh 30 hari,” kata Ketua Eksekutif pasukan, Zak Brown.

Kali kedua Alonso menyertai McLaren, menyaksikan mereka mencatat pencapaian terburuk dalam sejarah pasukan F1 itu. McLaren tidak pernah memenangi perlumbaan sejak Lewis Hamilton meninggalkan pasukan pada 2012, dan baru-baru ini, mereka hanya menamatkan saingan di kedudukan keenam untuk kategori pengeluar. – AGENSI