Pengarah OD Racing Team, Bernard Teo berkata, pasukannya yang baharu ditubuhkan pada 2014 sudah mempamerkan prestasi menakjubkan musim ini, sekali gus setaraf dengan pasukan antarabangsa lain.

“Kami amat berbangga dengan pencapaian yang diperoleh tahun ini. Sebagai pasukan baharu, kami harus bekerja keras berbanding mereka (pasukan) yang berpengalaman luas

“Kami mahu manyahut cabaran ini demi menunjukkan bahawa kami boleh memberi cabaran sengit pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

OD Racing Team melakar nama dalam saingan musim ini, menyaksikan mereka muncul pasukan pertama memulakan perlumbaan di barisan hadapan, sebelum mencatat kemenangan di Litar Antarabangsa Sepang, April lalu.

Pasukan itu turut muncul pasukan pertama mencatat kemenangan berganda apabila menjuarai pusingan ke-11 dan 12, masing-masing pada 14 dan 15 Oktober di Litar Zhejiang, China.

OD Racing Team menamatkan Siri GT Asia musim ini di tempat kedua setelah mengumpul 160 mata, manakala juara dimenangi pasukan Hong Kong, GruppeM Racing Team (243 mata).

Pemandu Australia, Mitch Gilbert yang dilahirkan dan membesar di negara ini merupakan salah seorang pelumba pasukan OD Racing Team, selain Aditya Patel dari India.

“Malaysia adalah rumahku dan saya amat berbangga dapat berlumba dengan pasukan yang sememangnya dari Malaysia dan menggunakan kepakaran krew dari Malaysia juga.

“Ini adalah musim yang paling sengit yang pernah saya lalui dalam kerjaya saya. Kesemua pahit manis telah kami lalui bersama tahun ini dengan harapan ia akan membawa kami ke kemuncak yang cemerlang,” kata Gilbert.