Pemandu Colombia berusia 25 tahun itu menjadi wanita pertama dari Amerika Latin diberi kepercayaan menguji jentera F1 yang jauh lebih laju serta canggih berbanding kereta yang dipandunya dalam GP3 ketika ini.

Dia dipilih sebagai pemandu uji Sauber pada Mac lalu selepas setahun memainkan peranan sebagai pemandu pembangunan.

“Memandu Sauber C37 hari ini adalah pengalaman yang sangat menakjubkan.

“Kuasa, cengkaman serta brek kereta ini sangat luar biasa, dan saya rasa amat selesa di atas trek.

“Sukar untuk gambarkan perasaan saya sebaik sahaja ber­ada dalam jentera, rasa seperti tidak mahu kembali menggunakan jentera GP3,” kata Calderon.

Bagaimanapun, pasukan itu hanya membenarkan dia memandu untuk jarak 100 kilo­meter iaitu bersamaan 23 pusi­ngan Grand Prix Mexico.

“Sejak mula berlumba, impian saya hanya untuk beraksi di pentas tertinggi,” katanya lagi, yang menguji jentera C37 di Litar Hermanos Rodriguez.

Calderon yang ditaja syarikat Mexico Telmex, menjadi wanita pertama berpeluang memandu jentera F1 terkini sejak pelumba Britain, Susie Wolff melakukan sebelum bersara pada 2015.

Kali terakhir F1 mempunyai pemandu wanita dalam perlumbaan sebenar adalah pada 1976 menerusi Lella Lombardi dari Itali. – REUTERS