Pemandu Britain itu memastikan Mercedes terus mendominasi saingan apabila menghadiahkan petak pertama buat kali ke-19 daripada 20 perlumbaan.

Ia juga adalah petak pertama ke-64 dalam karier Hamilton, hanya satu lagi kemenangan untuk me­nyamai rekod idolanya yang juga legenda F1 Brazil, Ayrton Senna.

Hamilton, 32, melengkapkan aksi kelayakan dengan catatan terpantas satu minit, 19.149 saat, manakala pendahulu kejuaraan dunia, Vettel dari Jerman mengekori di tempat kedua de­ngan 0.051s di belakang.

Rakan sepasukan Hamilton yang memenangi perlumbaan pertama­nya pada Grand Prix Rusia, dua minggu lalu, Valtteri Bottas dari Finland mencatat masa ketiga terpantas menerusi 1:19.373s, diikuti bekas juara dunia dari Ferrari, Kimi Raikkonen juga dari Finland (1:19.439s).

Pemandu muda Belanda, Max Verstappen dari pasukan Red Bull yang memenangi perlumbaan pertama dalam kariernya di Litar de Catalunya, tahun lalu mencatat keputusan memberangsangkan dengan berkedudukan tempat kelima menerusi catatan masa 1:19.706s.

Vettel mengalami kebocoran air dan terpaksa menukar enjin sebelum memulakan aksi kelayakan, malah juara dunia empat kali itu terpaksa keluar ke lorong pit di hujung saingan selepas Ferrari mengesan masalah yang dialami.

“Saya minta maaf, sangat..s­angat meminta maaf tetapi masalah ini membuatkan saya naik gila dan saya boleh beritahu anda sebabnya, anda pasti faham,” kata boss Ferrari, Niki Lauda kepada Vettel selepas tamat saingan. – AGENSI