Hamilton diletak sebagai pilihan ke­dua untuk memenangi perlumbaan di litar jalanan Marina Bay yang juga litar kegemaran pasukan Ferrari selepas Vettel merangkul empat kejuaraan daripada sembilan perlumbaan di Singapura.

Bagaimanapun kejayaan Ha­milton mendahului kedudukan pemandu dunia dengan perbezaan tiga mata di depan Vettel selepas muncul juara dua kali berturut-turut memberi amaran jelas kepada Ferrari.

Ferrari perlu lebih bijak mengatur strategi selepas Hamilton meraih kejuaraan di litar mereka, sekali gus merosakkan sambutan 70 tahun pasukan Itali itu.

Kegagalan meraih kejayaan di Singapura, Ahad ini yang merupakan perlumbaan ke-14 daripada 20 perlumbaan musim 2017 akan memalapkan peluang Ferrari bagi meraih kejuaraan dunia pertama dalam tempoh sedekad.

Memiliki 23 selekoh, litar di Singapura memberi lebih kelebihan kepada Ferrari, berbanding Mercedes yang bergantung kepada kepantasan jentera.

Keadaan reka bentuk litar Marina Bay yang tidak memiliki jalan lurus me­nyukarkan mana-mana pemandu untuk memotong.

Pengarah Eksekutif Mercedes, Toto Wolff mengakui, pasukannya akan berdepan kesukaran selepas Ferrari memenangi lima daripada tujuh perlumbaan ter­akhir di Singapura.

“Singapura mempunyai litar yang memberi kelebihan kepada Ferrari dan Red Bull.

“Kedua-dua pasukan ini menunjukkan aksi luar biasa di litar berkelajuan rendah dan kami mendapati saingan kami sema­kin sukar di litar seperti ini pada 2017.

“Bagaimanapun, kami menunjukkan peningkatan positif terutama dari segi kekuatan jentera.

“Hujung minggu ini pasukan perlu berada dalam keadaan terbaik untuk menjadi juara, kami mahu menamatkan perlumbaan dengan cemerlang,” kata Wolf. – AFP