Juara dunia empat kali, Vettel yang dalam keadaan marah bertindak membawa kereta Ferrarinya merempuh jentera Mercedes yang dipandu Ha­milton dalam insiden setahun lalu.

Pemandu Jerman itu bertindak demikian selepas berang kerana merasakan dirinya seolah-olah menjadi mangsa ujian brek Hamilton yang memandu di depan sewaktu mengekori kereta keselamatan.

Sejurus selepas insiden berlaku, Hamilton menyifatkan tindakan Vettel sebagai memalukan.

Bagaimanapun ketika ditemui pemberita hari ini, juara dunia dari Britain itu membe­ritahu, dia kini melihat insiden yang berlaku setahun lalu daripada persepsi yang lebih matang.

“Memang bagus dapat melihat kemarahan yang membara dalam diri pencabar anda.

“Ia juga menyeronokkan apabila melihat mereka bukannya sempurna kerana tiada siapa yang sempurna.

“Semua orang melakukan kesilapan tetapi ia lebih kepada bagaimana mereka mengawal situasi dan belajar daripada insiden itu.

“Rasa hormat saya semakin bertambah sejak itu. Saya yakin persaingan akan berterusan.

“Dia semakin matang. Bagaimana dia membawa diri, bercakap dan menunjukkan kematangan,” kata Hamilton.

Hamilton juga menjangkakan satu lagi persaingan sengit bakal berlaku antara pasukan Mercedes dan Ferrari dalam perlumbaan di Baku, hujung minggu ini. – AFP