Nazim, 16, yang menjadi pelumba pertama Malaysia muncul juara F4 iaitu perlumbaan sokongan pada Grand Prix Formula Satu (F1) Malaysia di Litar Sepang, awal bulan ini akan beraksi dalam kelas MP Motorsport dalam F4 Sepanyol.

“Saya mungkin akan kembali dan berlumba dalam F4 SEA tetapi semuanya bergantung kepada jadual.

“Saya juga mungkin berlumba dalam F4 Jerman 2018, namun sebenarnya saya berharap untuk menyertai F3 (Formula 3) Britain,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kepada pelumba yang memasang cita-cita untuk beraksi dalam F1, F4 dianggap langkah permulaan terbaik, terutama di Asia Tenggara yang mana ia menawarkan 30 perlumbaan dengan bajet yang bersesuaian.

Nazim juga menjelaskan, perlumbaan F4 hampir sama dengan go-kart cuma ia lebih pantas.

“Saya mengesyorkan kepada sesiapa yang mengimpikan untuk beraksi dalam F1 pada masa akan datang agar beraksi dalam perlumbaan ini (F4 SEA). Ia langkah yang baik dari sukan go-kart dan mempersiapkan anda untuk menghadapi cabaran yang bakal menanti,” katanya lagi. - UTUSAN ONLINE