Sepanjang 2017, sukan pemotoran telah mencoret pelbagai cerita, termasuklah penganjuran terakhir Formula Satu (F1) di Malaysia dan berita kejutan pelumba Moto2 negara Hafizh Syahrin Abdullah berpisah dengan Petronas.

Keputusan kerajaan tidak menyambung kontrak bersama pemilik baharu F1, Liberty Media, dengan Grand Prix (GP) Malaysia pada tahun ini sebagai yang terakhir telah mengundang pelbagai reaksi daripada peminat sukan pemotoran tanah air.

Kemerosotan ketara jumlah penonton tempatan saban tahun menyaksikan F1 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mendorong keputusan besar itu diambil oleh kerajaan, setelah sukan termahal di dunia tersebut bertapak selama 19 tahun di bumi Malaysia.

Walaupun tidak memiliki pemandu Malaysia di dalam perlumbaan empat roda itu, kehadiran Petronas selaku penaja utama dan pembekal bahan api kepada pasukan juara dunia Mercedes telah membuat sukan berkenaan dekat di hati peminat tempatan.

Beralih kepada sukan pemotoran dua roda pula, Malaysia memiliki tiga wakil di dalam saingan Moto2 dan Moto3 iaitu Hafizh Syahrin Abdullah, Khai­rul Idham Pawi serta Adam Norrodin. Bagaimanapun, daripada tiga pelumba itu, hanya Hafizh yang mencatat dua keputusan podium bagi musim 2017.

Bermula agak perlahan pada awal musim, bekas pelumba Petronas Raceline Malaysia itu mempamerkan kebangkitan sebaik sahaja separuh kedua musim bermula apabila berada di kedudukan kedua di San Marino dan ketiga di Jepun pada September serta Oktober lalu.

Hafizh, 23, yang baharu sahaja bergelar suami kepada Noor Suzana Abdul Manaf minggu lepas, melengkapkan saingan Moto2 di kedudukan ke-10 keseluruhan de­ngan 106 mata, jatuh satu anak tangga berbanding musim 2016.

Walaupun, mencatat dua keputusan podium, keputusan itu tidak mampu menghalang perpisahan antara Hafiz dengan Petronas yang mahu memberi tumpuan kepada Moto3 dengan menaja Adam, dan Kejuaraan Moto3 Remaja Dunia CEV.

Hafizh bakal membuka aksinya bagi musim 2018 bersama pasukan baharu iaitu SIC Racing Team di bawah teraju Johan Stigefelt yang memiliki pe­ngalaman luas dalam perlumbaan Moto2.

Selain pencapaian podium Hafizh, SIC turut menerima anugerah penganjuran terbaik bagi musim 2017 setelah berjaya menarik kehadiran lebih 100,000 penonton sepanjang tiga hari GP Motosikal Malaysia diadakan Oktober lalu.