Warga Britain berusia 87 tahun itu, yang meninggalkan F1 pada Januari lalu, selepas syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat, Liberty Media mengambil alih hak penganjuran sukan tersebut, turut memberi amaran bahawa ancaman daripada Ferrari untuk menarik diri selepas 2020 perlu dipandang serius.

Liberty dan badan induk F1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) bakal membentangan cadangan mengenai kawalan kos kepada pasukan, hari ini.

Walaupun, terdapat perbincangan mengenai sukan itu yang sedang menuju ke arah usaha mengagihkan pendapatan pada masa depan, mesyuarat Kumpulan Strategi di Geneva tidak pula menjangkakan untuk membincangkan tentang isu tersebut.

Cadangan untuk mengecilkan bajet sememangnya telah dibangkitkan, tetapi F1 berdepan dengan pelbagai kemelut sebelum ini bagi mencari jalan melaksanakan perancangan tersebut apabila pasukan pengeluar menjadi entiti perniagaan yang lebih besar.

Ecclestone nyata cukup skeptikal terhadap hasil yang bakal diperoleh apabila cadangan itu cuba dilaksanakan kelak.

“Rata-rata mereka yang berada di dalam `gelanggang’, mungkin tidak mampu melaksanakan tugas mereka lebih baik berbanding sekarang, jika cadangan pengurangan bajet dibuat.

“Tidak kira berapa pun pengurangan bajet yang anda letakkan ke atas Mercedes, Ferrari dan juga Red Bull, ia tidak akan membawa sebarang perubahan. Mereka akan menjalankan tugas mereka dengan lebih baik dan mencari jalan membelanjakan wang.

“Jika kita bercakap tentang realiti, ia sama sekali tidak akan berlaku,” kata Ecclestone kepada Reuters sebelum terbang ke Brazil, hujung minggu ini bagi menyaksikan perlumbaan kedua terakhir, musim ini. - REUTERS