Pelumba Finland berusia 28 tahun itu nyata gembira untuk terus menampilkan aksi cemerlang bersama pasukan Mercedes khususnya selepas diberikan lanjutan kontrak selama setahun.

Dia juga mengakui sangat gembira untuk terus bekerja sama dengan pasukan selain Hamilton dan sememangnya berhasrat untuk merangkul lebih banyak kejuaraan bersama Mercedes.

“Saya juga semakin menunjukkan peningkatan bersama pasukan. Saya juga mengalami beberapa minggu perlumbaan yang sukar tetapi berharap dapat menemukan semula tahap prestasi terbaik bagi merebut gelaran untuk tahun ini.

“Bagi saya, sasaran 1-2 untuk saingan hujung minggu ini adalah yang terbaik untuk pasukan,” katanya dalam sidang akhbar di Galeri Petronas, KLCC, di sini hari ini.

Bottas menyertai Mercedes dengan kontrak selama setahun bagi menggantikan Nico Rosberg yang mengambil keputusan bersara selepas merangkul kejuaraan dunia tahun lalu.

Pengarah Eksekutif Mercedes, Toto Wolff sebelum ini gembira dengan prestasi semasa yang ditunjukkan Bottas dan mengambil keputusan untuk memberikan lanjutan kontrak untuk tempoh sekurang-kurangnya setahun lagi.

Pelumba Finland itu kini berada di kedudukan ketiga kejuaraan dunia dengan 212 mata di belakang Hamilton yang me­ngumpul 263 mata untuk me­nerajui persaingan pelumba dan Sebastian Vettel di kedudukan kedua selepas meraih 235 mata.

Sementara itu, Bottas juga menzahirkan perasaan sedihnya apabila akan berlumba buat kali terakhir di Malaysia hujung minggu ini.

“Ini merupakan kali pertama saya berlumba di sini bersama pasukan Mercedes dan Malaysia seperti perlumbaan di laman sendiri buat kami.

“Semuanya seakan baharu buat saya dan menyedihkan kerana tidak lagi dapat berlumba di sini pada tahun akan datang, dan menarik sekiranya dapat menamatkan era Grand Prix Malaysia di kedudukan teratas,” katanya.