Pada 29 Disember ini, genap­lah lima tahun sejak pemandu F1 paling berjaya dalam sejarah sukan itu, yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-50 lima hari berselang, ditimpa kemalangan yang hampir meragut nyawanya di Maribel dekat pergunungan Alps, Perancis.

Namun, isteri Schumacher, Corinna yang dikahwininya pada 1995 tetap bertegas mahu merahsiakan keadaan bekas pelumba F1 itu, malah, sahabat-handai yang berhasrat melawat juga diminta tidak memberikan sebarang ulasan kepada media. Jika mereka berbuat demikian, maka terputuslah ikatan persahabatan tersebut.

Kelihatan beberapa anjing pengawal berkeliaran di luar kediaman Schumacher di Lake Geneva. Bapa Michael, Rolf, yang memiliki pusat go-kart di Kerpen berhampiran Cologne merupakan salah seorang pelawat tetap kediaman mewah itu.

Anda hanya mampu mende­ngar pukulan bola golf di sebuah kelab yang terletak bersebelahan rumah Schumacher, tetapi tiada seorangpun penduduk tempatan di Gland iaitu sebuah bandar yang berlokasi antara Geneva dan Lausanne, mengetahui perkembangan terkini superstar tersebut.

Bagaimanapun, Rolf, yang sering berkunjung ke Switzerland dari kediamannya di Bonn, mengesahkan Michael tinggal di banglo mewah tersebut, selepas dia terpaksa menepis dakwaan legenda F1 itu kini menetap di rumah rehat dibeli Corinna di Majorca musim panas lalu, ataupun di tempatkan di hospital pakar di Amerika Syarikat.

Anak lelaki Michael, Mick yang kini bergelar juara F3 menyertai pasukan F2, Prema sebagai persiapan beraksi dalam F1. Masa depan Mick dilihat cukup cerah, dengan tempat sama ada di Mercedes atau Ferrari dijanjikan bakal menjadi miliknya satu hari kelak.

Mick, sendiri tidak pernah berkongsi maklumat perubatan bapanya kepada pihak luar, tetapi bulan lalu dia memberi­tahu rangkaian televisyen Jerman, RTL tentang hubungannya dengan Michael sebelum kemalangan.

“Bapa saya pernah bertanya jika saya berminat berlumba secara profesional atau melakukannya untuk suka-suka sebagai hobi. Saya jawab, sudah tentu saya mahu melakukan secara profesional,” katanya. – AGENSI