Pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2014, Hafifi Mansor dan pemenang gangsa Sukan Komanwel 2018, Moha­mad Fazrul Azrie Mohdad adalah nama besar yang dijatuhkan hukuman oleh Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM).

PABM dalam satu kenyataan hari ini turut mengumumkan penggantungan tiga atlet pelapis, Muhammad Hakimie Haikal Nordin, Muhamad Zaidi Mohd. Nordin dan Ronny Jesus.

“Atlet tersebut digantung serta dilarang menyertai sebarang aktiviti dan kejohanan sepanjang tempoh penggantungan.

“Mereka juga telah menjalani sesi pendengaran dalaman untuk mempertahan dan membela diri sebelum keputusan diputuskan Pengerusi Jawatankuasa Kecil Disiplin PABM dan dibawa dalam Mesyuarat EXCO PABM,” kata Pre­siden PABM, Datuk Ayub Rahmat.

Mac tahun lalu, Hafifi, 28, disahkan positif Oxymetholone ketika menyertai kejohanan di Australia. Penggantungannya bermula dari 17 Mac 2017 hingga 17 Mac 2021.

Fazrul Azrie, 23, yang meraih gangsa kategori bawah 85 kilogram pada temasya Gold Coast, April lalu disahkan positif Stanozolol. Digantung empat tahun bermula 29 Mac lalu.

Muhammad Hakimie, Zaidi dan Ronny pula disahkan positif Stanozolol dalam ujian rambang yang dijalankan Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) pada 23 Mac lalu. Mereka digantung sehingga 22 Mac 2022.

Sementara itu, Fazrul Azrie akan mengemukakan rayuan kerana menganggap hukuman gantung empat tahun tidak adil.

“Hukuman maksimum empat tahun tidak adil buat saya kerana saya gagal ujian doping di luar pertan­dingan, bukan ketika kejohanan.

“Saya akan kemukakan rayuan. Sebelum ini ada atlet yang kena dua tahun sahaja,” kata Fazrul Azrie kepada Nadi Arena.