Larian, yang diadakan sempena Sukan SEA dan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 itu berlangsung sejauh 7.2 kilometer bermula dari Istana Malacanang dan tamat di Pusat Kebudayaan Filipina melibatkan empat pusat pemeriksaan.

Pemenang pingat perak angkat berat Sukan Olimpik Rio 2016, Hidilyn Diaz menjadi pembawa pertama baton bersama Duta Besar Malaysia ke Filipina, Datuk Raszlan Abdul Rashid dan Jurucakap Presiden Filipina, Ernesto C Arbella serta Pengerusi Suruhanjaya Sukan Filipina (PSC), William I Ramirez.

Selain Hidilyn, atlet lain yang turut mengambil bahagian termasuk Olimpian Filipina, Mary Joy Tabal, jurulatih John Philip Duenas serta 21 atlet paralimpik negara itu.

Hidilyn menyerahkan baton kepada pasukan bola keranjang lelaki iaitu skuad Gilas Pilipinas di pusat pemeriksaan pertama di Universiti Normal Filipina, sebelum meneruskan larian sejauh 900 meter bersama pelari dari ‘National Colleague Athletic Association’ (NCAA) dan ‘Philippine Sports Association of the Differently Abled’ (PHILSPADA).

“Saya mengucapkan setinggi tahniah kepada penduduk Fi­lipina khususnya Suruhanjaya Sukan Filipina atas usaha dan kerja keras menjayakan acara La­rian Baton ini.

“Ia amat membanggakan. Ini hasil kerjasama baik daripada kedua dua negara,” kata Raszlan.

Atlet lompat jauh Filipina, Maristella Torres-Sunang menerima baton di pusat hentian kedua di Luneta dengan kesemua peserta kemudian berlari sejauh 1.6km ke pusat pemeriksaan ketiga di Rajah Suleyman Park.

Wakil Pejabat Presiden Ryan Alvin Acosa dan Duta Timor Leste ke Filipina, Juvencio de Jesus Martin memainkan peranan di peringkat seterusnya sehingga ke Kompleks Sukan Memorial Rizal sebelum larian sejauh 7.2km di Pusat Kebudayaan Filipina dilengkapkan oleh Ramirez, atlet PHILSADA, Josephine Medina dan Datuk Bandar Ormoc, Richard Gomez.

Baton kemudian diserahkan kembali kepada Raszlan oleh Ramirez yang sebelum diserah kepada Timbalan Duta Laos ke Filipina, Souksanith Vongphankham. Laos menjadi lokasi seterusnya bagi peringkat ketiga pada 18 Mac ini.

Manila adalah destinasi kedua yang dilalui delegasi Kuala Lumpur 2017 selepas Brunei, minggu lalu.

Larian Baton Bangkit Bersama akan menjelajah seluruh Asia Tenggara dengan destinasi ter­akhir di Singapura pada 13 Mei ini sebelum kembali ke Malaysia.

158