Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Belia Sukan, Datuk M. Noor Azman Taib berkata, pemilihan Lumut sebagai lokasi acara larian tersebut yang akan diadakan pada 2 Mac depan, memberi peluang kepada generasi muda dari kawasan terpinggir untuk turut sama menyertai acara seumpama itu. 

“Melihat kepada objektif utama larian ini, saya percaya ia bukan semata-mata untuk mencari kemenangan namun Larian Eko Lumut 2019 lebih menjurus kepada platform untuk memupuk semangat kesukanan buat semua lapisan umur.

“Bukan itu sahaja, beberapa elemen penting turut diserap menerusi acara julung kali itu yang mana ia bakal menghidupkan kembali semangat berkomuniti untuk menjaga, memelihara dan memulihara kawasan setempat khususnya bagi kawasan sekitar Lumut,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Larian Eko Lumut 2019 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Penasihat Gold Rush Event, Tengku Hassanal Badyr Tengku Abdul Aziz Presiden The Patriot, Mohamad Jamalee Bashah dan Pengarah acara Larian Eko Lumut 2019, Mohamad Firdaus Mat Azahar.  - UTUSAN ONLINE