Menampilkan moto baharu ‘KL Alive’ (Kuala Lumpur Yang Hidup), misi terdekat PSM ialah menjadikan Stadium Nasional sebagai gelanggang rasmi skuad kebangsaan menerusi kerjasama dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), bulan depan.

“Kami mahu melihat KLSC hidup bukan hanya ketika acara atau kejohanan sukan tetapi pada hari selain itu.

“Bukan hanya acara sukan besar seperti Piala AFF boleh diadakan di sini tetapi juga Konsert Ed Sheeran (di Stadium Nasional, dua minggu lalu) yang dihadiri 40,000 orang.

“KLSC ada kemudahan hebat tetapi tidak dimanfaatkan manakala konsert kecil pula boleh diadakan di Pusat Akuatik Nasional atau Stadium Hoki Nasional dengan menutup padangnya.

“KLSC juga perlu hidup setiap hari dengan adanya restoran, pawagam kecil serta kedai,” kata Pengerusi PSM, Tan Sri Tony Fernandes.

Beliau yang ditemani Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Nik Razeen Daud dan Pengurus Pembangunan Perniagaan PSM, Radzi Tajuddin berkata demikian dalam sidang akhbar di Stadium Nasional di sini hari ini bagi mengumumkan hala tuju baharu perbadanan.

Kata Tony, PSM yang diterajuinya sejak tujuh bulan lalu akan turut merintis idea penjualan kotak korporat kepada sektor swasta yang berminat memaparkan iklan pada hari kejohanan atau acara lain di KLSC. - UTUSAN ONLINE