Menurut media Britain, memandangkan permintaan sangat tinggi dan naik mendadak, harga tiket telah meningkat secara luar biasa, biarpun badan bola sepak dunia, FIFA pada 4 Jun lalu telah memfailkan aduan jenayah terhadap wakil jualan atas talian, Viagogo.

Menurut BBC, terdapat tiga kategori tiket - yang paling murah untuk orang bukan Rusia dijual sehingga 360 pound (RM1,913), walaupun harga asal cuma 83 pound (RM441).

Kategori tiket kelas satu atau yang paling mahal adalah kira-kira 177 pound (RM940), tetapi dijual pada harga 513 pound (RM2,725) secara atas talian, bermakna peminat terpaksa membayar tambahan 336 pound (RM1,786).

Sesetengah pihak turut menawarkan tiket perlawanan England di Facebook, dan nilainya jauh lebih tinggi sehingga mencecah 681 pound (RM3,620).

England, juara 1966 mara ke pusingan 16 akhir selaku naib juara Kumpulan G, manakala Colombia pula merupakan juara Kumpulan H. - AGENSI