Pemain-pemain Belgium mengkritik taktik yang digunakan Perancis ketika menewaskan mereka 1-0 dalam separuh akhir, Rabu lalu, yang mana gol tunggal perlawanan hadir menerusi tandukan Samuel Umtiti (berpunca daripada sepakan sudut).

Pengendali Perancis, Didier Deschamps menggunakan taktik serangan balas dan lebih banyak bertahan, sekali gus menjadikan perlawanan kurang menarik.

“Saya tidak peduli. Saya hanya mahukan bintang (ditampal di jersi untuk pasukan juara dunia).

“Kalau saya dapat bintang itu, saya tidak peduli bagaimana cara kami bermain,” kata penyerang Atletico Madrid itu dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Griezmann, 27, berkata, dia turut menukar gaya permainannya untuk menyesuaikan diri dengan taktik pasukan.

Dia menamatkan kempen Kejohanan Eropah (Euro) 2016 dengan enam gol tetapi Perancis tewas kepada Portugal, yang diketuai Cristiano Ronaldo dalam perlawanan akhir di laman sendiri.

Griezmann juga telah menjaringkan tiga gol di Rusia, namun dua daripada jaringan itu hadir menerusi sepakan penalti.

“Saya pernah menjadi penjaring terbanyak, tetapi pasukan kami tewas.

“Jadi, saya beritahu diri sendiri, biar tidak menjaringkan gol asalkan kami boleh menang.

“Kalau saya boleh jaringkan gol, ia lebih bagus tetapi saya adalah pemain yang lebih mementingkan pasukan dan bukan jaringan peribadi,” tegasnya lagi. - AFP