Skuad bimbingan Didier Deschamps bakal membuat perhitungan di separuh akhir sama ada bertemu Brazil atau Belgium yang akan merebut slot ke empat pasukan terbaik sebentar lagi.

Terdahulu pertahanan Real Madrid, Varane meletakkan skuad Les Blues di depan selepas bijak melepasi halangan sebelum menanduk masuk bola daripada sepakan bebas Griezmann pada minit ke-40.

Pada minit ke-61, Griezmann menambah derita Uruguay yang beraksi tanpa tonggaknya, Edinson Cavani ekoran kecederaan menerusi percubaan dari luar kotak penalti, dengan penjaga gol Fernando Muslera berjaya menepisnya namun bola tetap menerjah ke gawang gol.

Gol tersebut merupakan jaringan ketujuh dalam enam penampilan penyerang Atletico Madrid, Griezmann pada pusingan kalah mati dalam Kejohanan Eropah dan Piala Dunia.

Sekalipun pemain sensasi Uruguay Luis Suarez membuat 35 sentuhan pada aksi tersebut, tetapi penyerang Barcelona itu tetap gagal membawa bola ke dalam kotak penalti lawan.- AGENSI