Les Bleus, sebuah pasukan muda dinamik yang memenangi trofi berprestij itu setelah menewaskan Croatia 4-2 di Moscow, muncul di kawasan popular Elysees, di mana mereka secara spontan menyanyi beramai-ramai lagu kebangsaan La Marseillaise bersama Presiden Emmanuel Macron dan isterinya.

“Terima kasih kerana telah membuat kami berasa bangga. Jangan sesekali lupa di mana asal usul kamu, kelab bola sepak di Perancis yang telah membentuk anda,” kata Macron kepada para pemain ketika meraikan skuad Perancis di istana presiden.

Lebih daripada 300,000 orang membanjiri Champs Elysees, di sekitar Arc de Triomphe dan di Place de la Concorde pada Ahad malam, bagi meraikan kejayaan Perancis. Sehingga awal pagi, para penyokong menyanyi Marseillaise, selain menyalakan bunga api dan membunyikan hon kenderaan masing-masing.

“Kami telah berpesta sejak semalam, bandar ini penuh dengan kegembiraan dan perayaan. Apa yang kami mahukan hanya lambaian daripada para pemain,” kata seorang wanita yang mengenakan pakaian berwarna merah, putih dan biru sewaktu ditemui di lapangan terbang Charles de Gaulle kepada BFM TV. - REUTERS