Menerusi temubual yang disiarkan majalah France Football, penyerang muda sensasi yang baru berusia 19 tahun itu memberitahu dia terpaksa beraksi dalam keadaan sakit di bahagian belakang badan kerana sering diasak keras oleh pemain lawan.

Asakan keras itu menyebabkan tulang belakangnya disahkan tercedera dan beralih daripada kedudukan asal tiga hari sebelum pertemuan dengan Belgium dalam separuh akhir yang me­nyaksikan Perancis menang 1-0.

“Memang ini dirahsiakan daripada pengetahuan pasukan lawan. Jika tidak mereka akan menggunakan keadaan tersebut dengan mensasarkan kepada kawasan kelemahan saya.

“Itu sebab pegawai dan rakan sepasukan tahu tetapi buat senyap sahaja termasuk dalam perlawanan akhir,” kata Mbappe yang menjaringkan empat gol sepanjang kempen Piala Dunia di Rusia.

Kehebatan Mbappe itu melayakkannya dipilih sebagai pemain muda terbaik Piala Dunia 2018 selain muncul pemain muda kedua selepas Pele pada 1958 yang berjaya menjaringkan dua gol dalam satu-satu perlawanan kejohanan itu dan satu gol dalam perlawanan akhir.

Pencapaian semasanya itu mencerahkan peluang Mbappe untuk disenaraikan sebagai calon dan pencabar bagi me­rebut Anugerah Pemain Terbaik Dunia bersama-sama Cristiano Ronaldo, Luka Modric dan Raphael Varane. – AGENSI