Gylfi Sigurdsson juga mempunyai kisah yang sama, namun bakatnya lebih besar hingga digelar sebagai ‘Ice Man’.

Dilahirkan di Reykjavik, Iceland pada 8 September 1989, dia adalah anak seorang nelayan, Sigurdur Adalsteinsson dan membesar dalam serba sederhana.

Begitupun Sigurdsson bertuah kerana mendapat sokongan kuat keluarga, terutama daripada segi kewangan.

Biarpun tidak datang dari keluarga kaya, Sigurdur sanggup melakukan apa sahaja, termasuk menyewa sebuah gudang pada musim sejuk bagi memastikan latihan anaknya tidak terjejas.

Abangnya, Olafur seorang pemain golf yang memiliki kelayakan beraksi dalam Jelajah Eropah sanggup berhabis wang bagi membantu adiknya mempelajari taktik bola sepak yang betul.

“Saya mencari semua video berkaitan bola sepak agar saya dapat belajar bagaimana hendak menjadi jurulatih kanak-kanak. Saya ajar diri sendiri, sebelum melatih adik,” kata Olafur.

Ketika Gylfi berusia 13 tahun, Sigurdur dan Olafur membawanya ke Hafnarfjordur, yang terletak 10 kilometer dari Reykjavik bagi membolehkannya menyertai Akademi FH Hafnarfjordur.

Gylfi menunjukkan perkembangan yang pantas, malah pada usia 14 tahun teknik yang dimiliki mengatasi rakan-rakan sebaya.

“Gylfi juga mempunyai mentaliti Iceland yang kuat. Dia bersungguh hendak meningkatkan permainan, berlatih keras berjam-jam dan memiliki keinginan tinggi.

“Keluarga adalah orang yang menjadikan dia pemain terbaik hari ini. Abangnya membantu dari segi perkembangan bola sepak, ibu dan kakaknya membantu menguatkan mental. Sebab itulah dia sentiasa merendah diri,” kata jurulatihnya di Hafnarfjordur, Magnus Jonsson.

Gylfi meninggalkan Iceland untuk mengejar cita-cita dengan menyertai Akademi Reading pada usia 15 tahun, sebelum menandatangani kontrak profesional bersama kelab Liga Kejuaraan itu pada 2008.

Namun, bakatnya berkembang selepas menyertai kelab Jerman, Hoffenheim pada 2010 sehingga dipilih sebagai pemain terbaik dua musim berturut-turut.

Dia juga menjadi tonggak Iceland yang melakar kejutan mara ke suku akhir Kejohanan Eropah 2016, selain layak ke Piala Dunia 2018.

Pada 2014, dia mengenali teman wanitanya, Alexandra Ivarsdottir, Ratu Cantik Iceland 2008 yang pernah menjejak kaki ke separuh akhir dalam pertandingan Ratu Cantik Dunia.

Biarpun mempunyai latar belakang glamor dan seorang penulis blog fesyen terkenal, namun pemilik ijazah psikologi itu memilih melalui kehidupan sederhana bersama Gylfi.

Pasangan ini tidak banyak berkongsi kisah peribadi mereka di media sosial.