England mara ke final Piala Dunia kali pertama pada tahun 1966 di London di mana mereka menewaskan Jerman Barat untuk muncul juara.

Bagaimanapun pengendali skuad Three Lions, Gareth Southgate tetap memuji aksi yang ditampilkan pemain-pemain mudanya di Rusia dan menyifatkan ia sebagai di luar jangkaan.

Southgate mengakui turut rasa kecewa kerana impian membawa England ke pentas akhir hanya tinggal selangkah lagi namun beliau tetap tenang memujuk anak buahnya.

“Kami baharu saja kehilangan peluang dalam perlawanan itu dan saya tidak mahu melupakannya terlalu cepat.

“Sepatutnya kami tidak terlepas pandang peluang yang ada, saat ini kami semua merasakan kekecewaan dengan kekalahan ini. Patutkah kita perlu berada dalam situasi ini? Secara realistik, saya tidak terfikir antara kami semua akan berada di sini.

“Imbas kembali 18 bulan lalu dengan tiada siapa menjangkakan kami layak ke separuh akhir Piala Dunia. Tetapi apabila berada di sini, kami boleh menang dan ada peluang untuk mara ke final, yang gagal dilaksanakan pasukan sebelum ini,” katanya.

Dalam aksi itu, England terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Kieran Trippier namun Croatia kembali lebih kuat pada babak kedua dengan Ivan Perisic menyamakan kedudukan sebelum Mario Mandzukic memastikan kemenangan pada minit ke-109.

Jelasnya lagi, walaupun gagal untuk ke final, Southgate menegaskan bahawa perancangan jangka panjang yang dibuat telah tercapai dengan keputusan sekarang.

“Kami memang kecewa tidak membawa negara ke saingan akhir dan sudah bermain habis-habisan di luar sana. Tetapi berjaya mara ke suku akhir dan separuh akhir sudah dianggap sebagai satu kejayaan,” katanya. – AGENSI