Menurut Osorio, dia lebih risau ancaman bintang tengah Barcelona, Philippe Coutinho yang disifatkan sebagai pemain terbaik Brazil sepanjang Piala Dunia 2018.

“Ketika bertemu Tite (jurulatih Brazil) baru-baru ini, dia tanya saya siapa pemain Brazil yang saya anggap terbaik, dan saya beritahu dia, Coutinho.

“Tidak dinafikan, Brazil memiliki ramai bintang seperti Willian, Douglas Costa, Neymar tetapi Coutinho adalah pemain yang mampu menjadikan permainan berbeza. Dia boleh beraksi di mana-mana bahagian tengah atau serangan.

“Dia adalah pemain yang perlu kami beri perhatian apabila menentang Brazil nanti,” kata Osoria kepada pemberita.

Pada ketika Brazil turut memiliki Roberto Firmino, antara pemain yang paling tidak mementingkan diri sendiri, Brazil mempunyai lebih banyak pilihan di bahagian serangan jika enggan melibatkan Neymar.

Ramai yang menganggap, juara dunia lima kali itu mampu menampilkan aksi lebih baik tanpa Neymar, malah mencadangkan pemain tersebut direhatkan.

“Dia (Neymar) cuba mencuri perhatian semua orang dengan skil yang dimiliki tetapi dia sebenarnya tidak ada sebarang pencapaian.

“Melihat kepada standard permainannya sekarang, saya fikir tidak salah kalau dia direhatkan,” kata bekas penjaga gol Denmark, Peter Schmeichel yang kini menjadi pengulas Piala Dunia.

Sementara itu, kapten Mexico, Andres Guardado pula percaya, sekarang adalah waktu terbaik buat pasukannya melakar sejarah menyingkirkan Brazil daripada Piala Dunia buat kali pertama.

Buat kali ketujuh berturut-turut, Mexico berjaya ke peringkat kalah mati, malangnya mereka tidak pernah melangkah ke suku akhir dalam enam penampilan terakhir.

“Tiada yang lebih hebat berbanding melakar sejarah kali ini. Kami tampil dengan mental berbeza, namun kami sedar pencapaian kami pada akhirnya akan dinilai sama ada kami layak atau tidak ke peringkat seterusnya (melepasi suku akhir).

“Apa lagi motivasi yang anda perlukan selain mengalahkan juara lima kali (Brazil)? Ini perlawanan paling sempurna untuk kami melakukan kejutan,” kata Guardado.

Misi Brazil untuk memburu kejuaraan keenam dan mengelak menjadi mangsa Piala Dunia seterusnya selepas Portugal, Argentina dan Jerman bagaimanapun tidak mudah apabila bakal beraksi tanpa dua tonggak, Marcelo serta Douglas Costa yang masih dibelenggu kecederaan.

Begitupun bek kanan, Danilo disahkan sudah pulih daripada masalah paha dan dijangka dapat diturunkan.