Ozil, 29, antara pemain senior yang dikritik hebat ekoran prestasi hambar di Rusia, yang menyaksikan Jerman menutup kempen di tangga tercorot kumpulan biarpun tiba sebagai penyandang juara.

Pada Piala Dunia di Rusia, Ozil enggan mengulas ketika ditanya mengenai kesetiaanya terhadap Jerman selepas gambarnya bertemu Erdogan bersama seorang lagi pemain, Ilkay Gundogan tersebar di media sosial.

Bierhoff mengakui, ia satu kesilapan apabila membenarkan Ozil berdiam diri dalam kontroversi yang membayangi pasukan Jerman sepanjang kejohanan.

“Dalam skuad kebangsaan Jerman, kami tidak pernah memaksa pemain melakukan sesuatu tetapi sentiasa meyakinkan mereka dalam sesetengah hal.

“Kami tidak berjaya dalam kes Mesut, dan seseorang sepatutnya mempertimbangkan untuk menggugurkannya daripada Piala Dunia,” kata Bierhoff kepada akhbar Jerman, Die Welt hari ini.

Ozil dan Gundogan, yang mempunyai darah Turki diejek oleh penyokong Jerman dalam perlawanan persahabatan menjelang Piala Dunia selepas bergambar dengan Erdogan.

Gundogan dilihat menghadiahkan Presiden Turki itu jersinya bersama kelab England, Manchester City yang telah ditandangani dengan tulisan ‘Kepada Presiden Saya’.

Gundogan menafikan pertemuan itu berbaur politik, tetapi Ozil pula mengambil sikap berdiam diri biarpun kesetiaannya dipersoalkan oleh peminat.

Bierhoff berkata, dia dan Ketua Jurulatih Jerman, Joachim Loew sepatutnya menggugurkan Ozil daripada skuad ke Rusia. - AGENSI