Ini merupakan kali kedua England menang menerusi penalti penentuan dalam kejohanan utama dan kali pertama dalam Piala Dunia daripada lapan percubaan.

Peluang England untuk menempatkan diri dalam kelompok lapan pasukan terakhir mula terbit selepas Harry Kane meletakkan Three Lions di depan pada minit ke-57 menerusi penalti tetapi permainan berlanjutan ke masa tambahan apabila Yerry Mina menanduk masuk gol penyamaan pada masa kecederaan.

Penjaga gol Colombia, David Ospina berjaya menampan sepakan penalti Jordan Henderson namun dua percubaan La Tricolor gagal disempurnakan. England akan bertemu Sweden dalam suku akhir di Arena Samara pada Sabtu ini.

“Kami terpaksa berdepan 90 minit yang cukup sengit yang mana lawan akhirnya berjaya bangkit menyamakan kedudukan. Sebenarnya saya menjangkakan sesuatu yang di luar jangkaan, dan kami menaruh kepercayaan, berdaya saing bagi mencipta kejutan,” kata Southgate.

Southgate turut mencabar pemainnya mencipta sejarah sendiri selepas keputusan mendukacitakan dialami England dalam beberapa kejohanan utama sebelum ini. England tewas lima kali dalam penentuan penalti dan akhirnya tuah menyebelahi mereka di Stadium Spartak.

“Hari ini cukup klasik. Kami tidak mengulangi apa yang berlaku sebelum ini. Hari ini merupakan detik istimewa untuk pasukan. Saya berharap kepercayaan dapat diberikan kepada pemain. Dalam kehidupan anda perlu sentiasa percaya sebarang kemungkinan dan tidak terganggu dengan sejarah atau jangkaan,” katanya lagi.

Pengendali berusia 47 tahun itu turut menghamburkan pujian kepada penjaga gol Three Lions, Jordan Pickford apabila menafikan rembatan berbahaya Mateus Uribe.

“Itu aksi bertaraf dunia, saya terkejut dia boleh berbuat begitu dengan ketinggian yang dimilikinya. – AFP