Kane mendahului persaingan untuk merebut Kasut Emas tetapi diletakkan di bangku simpanan oleh Gareth Southgate ketika England kalah 1-0 kepada Belgium yang bermakna skuad Three Lions menamatkan Kumpulan G di tempat kedua.

Tindakan Southgate itu mudah dibaca iaitu untuk memastikan Kane kekal cergas bagi perlawanan menentang Colombia dalam pusingan kedua Selasa ini.

Walau bagaimanapun, Kane yakin dia akan mendapat momentum prestasinya selepas mencipta hatrik ketika menentang Panama dalam perlawanan keduanya.

“Mungkin jika saya bermain menentang Belgium dan tidak menghasilkan gol, saya akan berfikir, ‘saya gagal menjaringkan gol dalam perlawanan terakhir saya’. Tetapi (untuk pertemuan dengan Colombia) saya bermain sekali lagi selepas mencipta hatrik dan saya bersedia untuk bermain habis-habisan dalam perlawanan dengan Colombia.

“Buat masa ini saya fikir saya boleh menghasilkan gol setiap kali kami bermain, terutama apabila bola berada di hadapan anda dan keadaan memihak kepada anda. Anda akan tidak sabar untuk bermain,” kata Kane kepada akhbar Britain, Sunday.

Kane menepis andaian bahawa dia telah mendesak Southgate untuk menurunkannya ketika menentang Belgium supaya dia lebih berpeluang memenangi Kasut Emas.

Peluang penyerang Tottenham itu untuk menang hadiah penjaring terbanyak Piala Dunia semakin cerah selepas Cristiano Ronaldo tersingkir apabila Portugal kalah kepada Uruguay, menyebabkan pemain terbaik dunia itu tidak dapat menambah empat gol yang telah dijaringkannya.

Tetapi Kane bertegas bahawa menjulang Piala Dunia adalah keutamaannya berbanding penghormatan individu. – REUTERS