Bek tengah itu, yang melabelkan Colombia sebagai pasukan paling ‘kotor’ pernah dihadapinya, mempertahankan corak permainan England selepas Jose Mourinho dan Diego Maradona menuduh skuad bimbingan Gareth Southgate itu menggunakan taktik licik sewaktu menentang pasukan Amerika Selatan tersebut.

England dihadiahkan sepakan penalti, setelah Carlos Sanchez dikatakan menjatuhkan Harry Kane, yang menyebabkan Colombia berang terhadap keputusan tersebut.

Namun, Stones tetap bertegas mempertahankan pasukannya yang mematuhi setiap peraturan yang ditetapkan.

“Saya katakan ia satu tindakan yang bijak. Bagi saya ini semua tentang cara bermain bola sepak dengan menggunakan otak dan kami tahu apa yang perlu dilakukan tanpa dianggap sebagai penipu atau sengaja merebahkan badan.

“Saya tidak fikir sesiapapun pemain di dalam pasukan kami mahu berbuat demikian. Bertindak bijak terutama ketika dikasari merupakan kelebihan yang kami miliki sebagai sebuah pasukan dan ia dapat membantu kami mengharungi pertandingan ini,” kata Stones.

Colombia berusaha untuk menghadirkan tekanan ke atas England dengan pelbagai cara dan Stones berkata, tingkah laku mereka merupakan yang terburuk pernah disaksikannya, yang mana ia menjadikan kemenangan dicatat Three Lions lebih manis buat bintang Manchester City itu.

“Mereka mungkin merupakan sebuah pasukan paling kotor yang pernah saya hadapi. Saya tidak pernah menyaksikan permainan sebegini sebelum ini dan tingkah laku mereka. Ia memang cukup mengejutkan berdepan dengan perkara sebegini.

“Saya berasakan perkara terbaik buat kami ialah menewaskan mereka dalam bola sepak. Kami terus kekal kepada perancangan yang telah diatur dan tidak terjebak dengan pergaduhan yang pasukan lawan mahukan. Perkara terbesar yang akan mengecewakan mereka ialah terpaksa pulang ke tanah air,” jelasnya. – AGENSI