Ini ekoran kenyataan Presiden UFC, Dana white yang mahu memecat rakan sepasukan Khabib, Zubaira Tukhugov dari UFC selepas dia terlibat dalam pergaduhan terbabit.

Dalam catatan di Instagramnya, Khabib berkata, jika UFC mahu mengambil tindakan, mereka perlu menghukum semua yang terlibat terutama McGregor yang sebelum itu telah bertindak menyerang bas yang membawa petarung UFC termasuk Khabib di Barclays Center, New York tidak lama dulu.

khabib
 

“Saya ingin menyatakan kepada UFC, kenapa tidak memecat mereka yang terlibat menyerang bas hingga menyebabkan beberapa orang cedera? Mereka boleh menyebabkan seseorang terbunuh. Kenapa tidak ada sesiapa bercakap apa-apa apabila ada yang menghina negara, agama dan keluarga saya?

“Kenapa mahu menghukum pasukan saya, sedangkan kedua-dua pihak bergaduh? Jika anda mengatakan saya yang memulakannya, saya tidak setuju. Saya hanya menghabiskan apa yang dia (McGregor) mulakan,” kata Khabib merujuk kepada penghinaan yang McGregor lakukan kepadanya sebelum pertarungan.

 

Kata Khabib, jika UFC mahu mengambil tindakan juga, maka dia yang patut dihukum bukannya Zubaira.

UFC telah membatalkan pertarungan yang membabitkan Zubaira dan bercadangkan untuk memecatnya dari UC ekoran tindakannya menyerang McGregor dalam Octagon dalam pergaduhan yang tercetus selepas pertarungan Khabib-Mcgregor tamat.

“UFC telah membatalkan pertarungan Zubaira dan mahu memecatnya kerana dia memukul Conor. Tetapi jangan lupa bahawa Conor yang terlebih dahulu memukul seorang lagi saudara saya,” katanya.

Oleh itu kata Khabib, jika UFC memutuskan untuk memecat Zubaira, dia juga akan keluar dari UFC.

“Kami tidak akan menyerahkan persaudaraan kami dan saya akan melakukan apa sahaja untuk saudara saya, Jika anda (UFC) masih memutuskan untuk memecat dia (Zubaira), jangan lupa hantar kepada saya kontrak yang sudah dikoyak atau saya sendiri yang akan mengoyaknya,” tegas Khabib.

Khabib juga menegaskan bahawa UFC boleh terus menyimpan wang kemenangannya ke atas McGregor jika mereka mahu berbuat demkikian.

Sementara itu, Suruhanjaya Atlet Nevada (NAC) telah menggantung Khabid dan McGregor sekurang-kurangnya selama 10 hari bermula 15 Oktober dan ada kemungkinan dilanjutkan selepas siasatan kejadian pada Sabtu lalu itu selesai.