Mohd Badhri berkata, walaupun berulang kali isu ini dibangkitkan namun Kafa terus mengamalkan sikap lepas tangan dan tidak memanggilnya untuk berbincang bagi mencari titik persamaan dalam menyelesaikan masalah tersebut.

Menurutnya, sebagai bekas pemain yang pernah mencurahkan khidmat bakti dia akan terus bersuara sehingga haknya itu didengari oleh Kafa.

"Saya akui sedikit tertekan setiap kali memikirkan masalah ini (gaji). Ini kerana bola sepak merupakan kerjaya utama saya untuk menyara keluarga.

"Saya ada tanggungjawab yang perlu dijalankan. Jadi Kafa pun samalah, jalankanlah tanggungjawab dengan melunaskan bayaran tunggakan itu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Piya memberitahu, dia sudah membawa perkara tersebut kepada pengetahuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) untuk tindakan lanjut.

Selain Piya, Kelantan turut berdepan tuntutan gaji dari pemain pertahanan tinggi lampai, Amiridzwan Taj Tajuddin.

Bukan itu sahaja, Kafa turut diarahkan membayar tunggakan gaji bekas pengarah tenikal Alfredo Gonzalez (RM225,940) dan Dramane Traore (RM332,000).

Utusan Online 9 Disember lalu melaporkan Piya kecewa dengan sikap membisu Kafa berhubung tunggakan gajinya yang masih belum dilunaskan oleh badan induk itu. - UTUSAN ONLINE