Itu kata-kata tegas yang keluar daripada mulut bekas Ketua Pe­ngarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Wira Mazlan Ahmad apabila diminta mengulas mengenai langkah terbaharu Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) untuk membendung penyalahgunaan dadah terlarang dalam kalangan atlet mereka kebelakangan ini.

Katanya, tiada gunanya sekadar mahu menyedarkan atlet menerusi langkah tersebut sedangkan jurulatih tidak mempunyai kesedaran dan tidak diajar oleh PABM bagaimana untuk menjauhkan anak buah mereka daripada menggunakan bahan terlarang.

“Saya puji langkah PABM ini ke atas atlet mereka tetapi saya harap bukanlah secara bermusim. Langkah berterusan perlu dilakukan untuk menghapuskannya daripada sukan angkat berat negara yang kerap terpalit dengan isu positif doping ini.

“Paling penting PABM juga kena ajar orang yang paling dekat dengan atlet iaitu jurulatih mereka tentang tanggungjawab dan mengelak daripada bersekongkol sekali semata-mata untuk cepat berjaya menerusi jalan pintas,” katanya ketika dihubungi.

Semalam PABM nekad mengambil keputusan menggantung penyertaan atlet angkat berat negara daripada sebarang kejohanan antarabangsa selama setahun termasuk Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang pada Ogos ini berkuat kuasa serta-merta.

Presidennya, Datuk Ayub Rahmat berkata, keputusan itu terpaksa diambil kerana PABM mahu memulihkan imej dan re­putasi sukan angkat berat Malaysia yang dicemari empat kes atletnya gagal dalam ujian doping sepanjang tahun ini.

Tiga atlet terbaharu yang di­sahkan positif doping dadah jenis Stanozol oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) pada 17 Mei lalu adalah Muhammad Hakimie Haikal Nordin, Muhammad Zaidi Mohd. Nordin dan Ronny Jesos.

Sebelum itu pemenang pingat gangsa kategori 85 kilogram Sukan Komanwel 2018, Mohamad Fazrul Azrie Mohdad turut didapati positif Stonozol menerusi ujian yang dilakukan di Malaysia sebelum ke Gold Coast.

Mazlan yang bersetuju dan menghormati alasan yang diberikan PABM itu bagaimanapun mengingatkan persatuan terbabit agar tidak menghentikan program pembangunan dan penganjuran kejohanan peringkat negeri dan kebangsaan atau pun terma­suk mempertandingkannya dalam Sukan Malaysia (Sukma).

“Satu tahun itu saya anggap cukup untuk mendisiplinkan diri atlet angkat berat negara tetapi dalam masa sama PABM jangan lepas tangan atau mengabaikan peranannya untuk meneruskan program pembangunan.

“Ini kerana kalau PABM turut senyap dalam tempoh setahun itu misalnya, sukan angkat berat boleh terkubur di negara ini,” katanya yang mengakui ini kali pertama tindakan penggantu­ngan penyertaan digunakan badan induk angkat berat negara sepanjang dalam pengetahuannya.