Anak kelahiran Pulau Pinang yang melakukan kemunculan sulung dalam jelajah Persatuan Skuasy Profesional (PSA) setelah berehat selama 20 bulan akibat kecederaan itu menewaskan Watanabe, 19, menerusi kemena­ngan straight set 11-8, 11-7, 11-4.

Sementara itu, dalam saingan lelaki akhir, pemain Qatar yang merupakan pilihan ketiga, Abdulla Al-Tamimi menjuarai Terbuka Malaysia setelah mengalahkan pilihan kedua, Yip Tsz Fung dari Hong Kong 5-11, 12-10, 11-1, 7-11, 11-5.

Wee Wern dan Abdulla ma­sing-masing membawa pulang trofi serta wang tunai bernilai AS$2,346 (RM9,525) untuk juara wanita, manakala AS$5,866 (RM 23,818) bagi pemenang lelaki yang telah disampaikan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Ketika ditemui pemberita selepas perlawanan, Wee Wern berkata, kemenangan di Terbuka Malaysia diharap akan menjadi satu detik permulaan buatnya memburu impian untuk bergelar pemain No. 1 dunia dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

“Sudah tentu impian saya bukan sekadar untuk kembali ke kedudukan No. 5 dunia, tetapi saya mahukan lebih daripada itu iaitu untuk bergelar pemain No. 1 dunia dan rangkul gelaran dunia.

“Tetapi saya memerlukan masa sekurang-kurangnya beberapa tahun lagi untuk mengejar impian saya kerana perlu diingat saya tidak bermain selama 20 bulan,” katanya.

Mengulas mengenai perlawanan akhir menentang Watanabe, Wee Wern memberitahu, kelebihan yang ada padanya ialah pe­ngalaman dan dia memanfaatkan sepenuhnya untuk menyingkirkan pemain muda Jepun itu yang turut disifatkannya sebagai pemain berbakat besar.