Impak kehadiran mereka jelas dirasai kedua-dua skuad wanita dan lelaki negara ketika Kelayakan Kejohanan Dunia (Asia-Oceania) di Bangkok, Thailand dan Piala Konfe­derasi Floorball Asia Oceania (AOFC) di Laguna, Filipina.

Presiden Persatuan Floorball Malaysia (MFA), Dr. Rizal Mohd. Razman berkata, Thailand misalnya memiliki pemain dari Sweden, antara negara Scandinavia yang memang gagah dan menduduki ranking dunia yang lebih baik.

“Thailand dan Filipina menggunakan khidmat pemain import yang mempunyai dwikerakyatan seperti dari Sweden, antara kuasa utama floorball dunia. Mungkin mereka mampu menyukarkan laluan kita ke arah pingat Sukan SEA.

“Namun kita dan mereka berlawan dengan enam pemain masing-masing, jadi dalam hari perlawanannya, apa sahaja boleh berlaku,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian penajaan dengan jenama pakaian sukan, Figos di Puchong semalam.