Kemenangan di Stadium Tun Razak itu membolehkan mereka mengumpul 25 mata untuk menjarakkan kedudukan de­ngan TNB menerusi perbezaan empat mata.

Jurulatih UniKL, Arul Selvaraj berkata, pujian wajar diberikan kepada TNB yang memberi tentangan sengit hari ini.

“TNB lebih menguasai perlawanan separuh masa pertama malah bekerja keras, namun seperti yang sering saya katakan kami mempunyai pemain yang tahu bagaimana untuk menang dan perlawanan berubah pada babak kedua.

“Saya tidak mahu memikirkan soal kemenangan liga lagi sebaliknya hanya mahu mempersiapkan pasukan bagi menghadapi baki tiga saingan.

“Secara keseluruhan saya berbangga dengan prestasi beberapa pemain muda seperti Ashran (Hamsani),” kata Arul. 

Dalam perlawanan tersebut empat gol UniKL dijaringkan Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin pada minit ke-10, Muhammad Razie Abdul Rahim pada minit ke-43, Kieren Ian Govers pada minit ke-47 dan Mohamad Ashran Hamsani pada minit ke-55.

Dua gol TNB pula diperoleh menerusi Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd. Jalil pada minit ke-15 dan Norshafiq Sumantri pada minit ke-20.

Sementara itu keputusan lain menyaksikan Maybank meraih kemenangan 2-1 menentang TNB Thunderbolts di Stadium Hoki Tengku Abdullah manakala Nur Insafi tewas 3-5 ke atas Pasukan Hoki Terengganu (THT) di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.