Pemain berusia 27 tahun itu berkata, perlawanan penutup MHL menentang Kelab Hoki Kuala Lumpur hari ini bukan calang-calang, dengan mereka dipaksa bermandi peluh sebelum dapat menundukkan juara bertahan itu dengan keputusan 2-1.

“Perlawanan hari ini sangat seimbang. Syukur alhamdulillah THT dapat merampas kembali gelaran MHL kali ini. Saya ucapkan tahniah kepada semua rakan sepasukan saya.

“Kami menggunakan semua peluang yang ada. Kami memang nak menang biarpun kami tahu keputusan seri sudah cukup untuk menjadikan kami juara. Apa pun kami tak boleh berbangga sangat dengan kejayaan hari ini sebab masih ada cabaran lagi di luar sana.

“Selepas ini kami akan memberi fokus terhadap saingan separuh akhir Piala TNB,” katanya kepada pemberita sejurus tamat perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Kuala Lumpur, hari ini.

Faizal menjadi wira apabila menghidupkan semula peluang THT untuk muncul juara dengan menyamakan kedudukan pada minit ke-50 setelah KLHC, menerusi Nabil Fiqri Mohd. Noor membuka jaringan pada minit ke-36.

THT, yang juga juara edisi 2014, 2015 dan 2016 kemudian mengukuhkan kedudukan selepas Lopez Barreiros menyumbat gol tiga minit berselang daripada jaringan Faizal. Ketiga-tiga gol terbabit disumbat menerusi jaringan padang.

THT muncul juara MHL 2018 apabila menutup kempen tersebut dengan pungutan ter­tinggi 24 mata.

Sementara itu, jurulatih THT, Sarjit Singh memuji semangat anak-anak buahnya yang sanggup memberikan segalanya demi menghidupkan kembali peluang kejuaraan setelah ketinggalan 0-1 pada suku masa ketiga.

“Mereka tahu betapa pentingnya perlawanan hari ini. Sebab selepas ini perebutan kejuaraan akan lebih mencabar.

“Biarpun hari ini kami hanya memerlukan keputusan seri untuk muncul juara, namun semua pemain sedar seri sahaja tidak cukup kerana KLHC boleh bangkit semula dan kemudian memberikan kami tekanan,” katanya.