Pemain muda negara, Mohamad Akhimullah Anuar Esook muncul wira pasukan apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit akhir perlawanan.

Turun dengan 100 peratus pemain tempatan, skuad kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin itu berjaya mengatasi pasukan Pasukan Hoki Terengganu (THT) dengan keputusan 2-1.

Kemenangan itu, menyaksikan TNB menamatkan kemarau sembilan tahun tanpa kejuaraan dan mengubat kedukaan 2016 selepas mereka tewas di pentas akhir kejohanan sama kepada Kelab Hoki Sapura.

“Kalau lihat pada permainan kita mungkin tidak mampu menang kerana pasukan THT memperoleh penalti stroke pada minit terakhir perlawanan. Kita bernasib baik penjaga gol utama, S. Kumar menepis percubaan itu.

“Kita bangkit semula dan berjaya menjaringkan gol kemenangan. Pada awal dan pertengahan perlawanan kita mempunyai peluang tetapi barisan penyerang gagal melakukan dengan baik.

“Ini adalah permulaan yang baik kerana berjaya menewaskan pasukan UniKL dan THT dalam minggu yang sama. Ini adalah peningkatan yang baik dan mampu menjadi pemangkin semangat kepada pemain sebelum bermulanya saingan liga nanti,” katanya kepada pemberita.

Dalam aksi final itu, TNB terlebih dahulu menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-46 menerusi Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan menerusi penalti stroke.

Namun dua minit kemudian, THT menyamakan kedudukan menerusi gol padang daripada Muhammad Rashid Baharom sebelum Akhimullah mengesahkan kejuaraan menjadi milik TNB menerusi jaringan padang pada minit terakhir perlawanan. - UTUSAN ONLINE