Saingan di Stadium Hoki Kuala Lumpur menyaksikan KLHC telah satu kaki untuk mempertahankan kejuaraan apabila Nabil Fiqri Mohd. Noor membuka jaringan pada minit ke-36 menerusi gol padang.

Bagaimanapun THT yang hanya memerlukan keputusan seri untuk menjulang trofi MHL 2018, menghidupkan peluang setelah Faizal Saari menyumbat gol penyamaan menerusi jaringan padang pada minit ke-50.

Tiga minit berselang, jaringan padang daripada Lopez Barreiros meranapkan impian KLHC untuk memenangi MHL kali kedua berturut-turut.

“Mereka tahu betapa pentingnya perlawanan hari ini. Sebab selepas ini perebutan kejuaraan akan lebih mencabar.

“Biarpun hari ini kami hanya memerlukan keputusan seri untuk muncul juara, namun semua pemain sedar seri sahaja tidak cukup kerana KLHC boleh bangkit semula dan kemudian memberikan kami tekanan.

“Nampaknya kami bernasib baik, kami berjaya mencuri tiga mata daripada perlawanan ini,” kata jurulatih THT, Sarjit Singh kepada pemberita sejurus tamat perlawanan.

THT berjaya merampas kembali gelaran MHL setelah terlepas ke tangan KLHC musim lepas, dengan mereka melakar kejuaraan buat kali keempat sejak memenanginya pada 2014, 2015 dan 2016.- UTUSAN ONLINE