THT yang dibimbing jurulatih baharu, I Vikneswaran menundukkan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menerusi menerusi pukulan penalti shoot out 3-1 di Stadium Hoki Batu Buruk, sebentar tadi.

Kemenangan itu sekali gus menamatkan badi kekalahan dalam empat edisi terdahulu biarpun cemas seketika selepas UniKL bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat THT 2-2 hingga tamat permainan.

Penyerang kebangsaan, Faizal Saari membuka jaringan THT seawal minit ketiga selepas menyempurnakan hantaran pemain import dari Korea Selatan, Jun Man jie.

Jang Jong Hyun menjadikan kedudukan 2-0 menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-15.

Tersentak jaringan itu, UniKL yang dibimbing Arul Selvaraj menukar taktikal perlawanan dan akhirnya merapatkan jurang menerusi pukulan sudut penalti pemain kebangsaan, Razie Rahim pada minit ke-30.

Lima minit berselang Razie sekali lagi menutup mulut lebih 1,000 peminat setia tuan rumah apabila menjaringkan gol penyamaan 2-2 juga melalui pukulan sudut penalti hasil hantaran kapten, Marhan Jalil. - UTUSAN ONLINE