Kapten pasukan, Sukri Mutalib mengakui pasukan Malaysia banyak melakukan kesilapan sehingga membolehkan pihak lawan mencuri mata.

"Kita bermula dengan tidak baik. Banyak kesilapan yang berjaya dihukum oleh pasukan lawan yang ternyata lebih baik dari kita. Mereka pasukan yang sangat baik dari segi scoring goal (penyudah) dan kita membenarkan mereka menjaringkan gol dengan mudah.

"Tidak dapat dinafikan itu adalah kesilapan kita sendiri. Macammana pun, saya harap pemain tidak putus semangat dan bangkit untuk aksi seterusnya menentang Wales, kutip tiga mata pertama itu," kata Sukri yang ditemui selepas tamat perlawanan, di sini.

Skuad bimbingan jurulatih Stephen Van Huizen akan kembali beraksi esok menentang Wales.

Malaysia, yang meletakkan sasaran untuk mara ke separuh akhir, diletakkan di dalam kumpulan B bersama England, Wales, India dan Pakistan.

Kali terakhir Malaysia meraih pingat pada Sukan Komanwel adalah ketika temasya 2002 di Manchester, England apabila mereka berjaya membawa pulang pingat gangsa. - BERNAMA