Kejohanan itu mendapat tajaan kerajaan negeri berjumlah RM500,000; RITZ Corporation Holding Berhad dan Astaka Padu Sdn. Bhd. masing-masing RM200,000; Johor Corporation, JBB Builders (M) Sdn. Bhd., UM Land dan Tenaga Nasional Berhad masing-masing RM100,000.

Begitu juga SAJ Holdings Sdn. Bhd., KH Land Sdn. Bhd., The Zon dan Iskandar Waterfront Holding Berhad, Genting Berhad masing-masing menyumbang RM50,000 sementara Berjaya Times Square pula menyumbang RM30,000.

Sumbangan tersebut diserahkan penaja kepada Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim selaku wakil rasmi kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri, Mohd. Khuzzan Abu Bakar; Pegawai Kewangan negeri, Datuk A. Rahim Nin; Datuk Bandar Johor Bahru, Amran Rahman dan Timbalan Presiden Persatuan Hoki Johor (PHJ), Datuk Majid Manjit Abdullah yang juga Naib Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Menurut Mohd. Khuzzan, sebanyak enam negara akan berentap dalam SOJC kali ini iaitu Malaysia, New Zealand, Australia, India, Great Britain dan Jepun.

“Kita harap pasukan Malaysia akan berjuang habis-habisan dan kita sasarkan mereka untuk menduduki tempat kedua pada kali ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas itu.

Majid Manjit pula berkata, pihaknya menerima banyak permohonan untuk menyertai SOJC kali ini tetapi terpaksa menghadkan enam pasukan sahaja,” katanya. - UTUSAN ONLINE