Baginda bertitah, beberapa program kecergasan akan dilaksanakan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) bagi memastikan setiap pemain berada pada tahap kecergasan yang sempurna menjelang kejohanan itu.

"Saya sudah berbincang dengan MSN dan ISN dan ia menunjukkan petanda positif di mana setiap pemain akan dilatih pegawai kecergasan, malah ia akan dilakukan sebelum skuad itu menyertai Kejohanan Empat Penjuru di Sepanyol pada bulan hadapan.

"Agak membimbangkan juga kerana tahap kecergasan pemain belum memuaskan, saya mahu ia dipertingkatkan secepat mungkin dan kerjasama dengan MSN dan ISN itu bakal memberi kesan kepada peningkatan setiap pemain," kata baginda selepas menyaksikan perlawanan tempat ketiga dan keempat Kejohanan Hoki Remaja Undangan Empat Negara antara Malaysia dan Singapura di Stadium Hoki Taman Daya, di sini semalam.

Pada perlawanan itu, remaja kebangsaan kembali menunjukkan taring sebenar apabila membelasah pasukan Singapura 6-0 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga.

Meskipun agak terlewat, keputusan itu bagaimanapun dilihat bakal memberi sokongan moral kepada pemain untuk beraksi dalam kejohanan Hoki Remaja Dunia kelak.

Hadir sama pada perlawanan itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong.

Mengulas mengenai keadaan stadium, Tengku Abdullah berkata, pihak pengurusan harus memastikan tidak berlaku sebarang takungan air menjelang kejohanan dunia itu kerana ia bakal menjejaskan rentak perlawanan serta akan menyukarkan para pemain untuk bergerak.

"Saya agak risau dengan keadaan itu, malah hujan yang turun memberi kesan terutama berlaku sedikit takungan air di beberapa kawasan di padang itu dan perkara itu perlu diatasi segera.

"Padang kedua seperti yang dikehendaki Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dijangka siap sepenuhnya Mei ini dan jika semua berjalan lancar saya yakin tidak timbul lagi sebarang masalah," jelasnya.