Pengurus pasukan, Lailin Abu Hassan berkata, pasukan berkenaan berada dalam prestasi terbaik untuk mencipta kejayaan di Jakarta dengan sasaran yang diletakkan bagi meraih kedudukan podium pada temasya sukan tersebut.

Skuad Malaysian Tigress menamatkan saingan di tempat keempat setelah tewas 0-2 kepada China pada perlawanan penentuan ketiga dan keempat kejohanan berkenaan di Stadium Sunshine, Donghae, Korea Selatan.

“Pasukan akan berusaha meraih kedudukan terbaik pada Sukan Asia kali ini. Lapan belas pemain disenaraikan dan kemungkinan tiga lagi nama akan ditambah,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Pemilihan Sukan Asia di Wisma MOM, di sini hari ini.

Penyertaan kategori A menyaksikan atlet akan diberikan tajaan penuh manakala kos atlet kategori B perlu ditanggung pihak persatuan masing-masing. Bagaimanapun, perbelanjaan atlet kategori B akan dibayar semula sekiranya atlet berkenaan berjaya meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa.

Sementara itu, pasukan hoki lelaki kebangsaan yang turut berada dalam kategori A menyasarkan untuk meraih pingat emas pada Sukan Asia 2018.

Pengurus pasukan hoki lelaki, Nasihin Nubli Ibrahim berkata kemenangan di Sukan Asia amat penting untuk meraih tiket beraksi di Sukan Olimpik 2020 di Jepun.

“Sasaran kita mara ke final. Saya percaya mereka mampu melakukannya kerana sasaran kita selepas ini adalah Sukan Olimpik 2020. Kita senaraikan 18 pemain, namun keputusan muktamad akan diumumkan pada 22 Jun ini,” kata Nasihin.